Wednesday, March 9, 2011

Peranan Mak Andam Di Majlis Perkahwinan


"Bakal pengantin perempuan kini lebih gemar guna khidmat jurusolek moden"



Melangkah ke alam perkahwinan bagi kebanyakan bakal pengantin ia adalah sesuatu yang mendebarkan. Malah, semakin hampir tarikh yang ditetapkan, semakin itulah kencangnya debaran di hati apabila menantikan saat itu.

Menyedari perkara itulah pada zaman dulu, mak andam adalah antara individu yang sangat penting di dalam sesebuah majlis perkahwinan orang Melayu. Sebut saja hal perkahwinan mesti ada mak andam yang bertanggungjawab secara menyeluruh; daripada menjaga protokol majlis hinggalah kepada kesempurnaan penampilan pengantin termasuk, menjaga pengantin secara rohani dan jasmani.

Apa yang pasti, pengisian rohani bagi bakal pengantin yang akan menaiki jinjang pelamin oleh mak andam dilihat begitu penting dijaga agar mempelai berasa lebih tenang, tidak gemuruh dan yakin khususnya ketika bersanding di atas pelamin.

Begitu juga dengan penjagaan jasmani supaya pengantin kelihatan cantik, berseri dan sopan. Detik itu, pengantin akan dilihat mulia apabila dijaga oleh mak andam dan ia ibarat Mak Inang yang menjaga puteri raja.

Lebih unik dan menariknya, bagi masyarakat Melayu zaman dulu, adat untuk mengandamkan anak dara yang bakal dikahwinkan dibuat lebih kurang tiga hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan.

Anak dara yang akan memasuki alam perkahwinan akan diandam oleh juruandam dan sudah dikenali memang kerjanya mengambil upah menjadi ‘emak pengantin’.

Juruandam, Meriam Sedit atau lebih dikenali sebagai Kak Yan, berkata walaupun adat berandam jarang dilakukan hari ini, ia sewajarnya dikekalkan sebagai persediaan awal bakal pengantin menghadapi segala kemungkinan hari bersejarah iaitu pada hari perkahwinannya.

Kak Yan, berkata ramai daripada kalangan kita yang tidak mahu berandam kerana menganggapnya kerja remeh dan lebih-lebih lagi kebanyakannya sibuk dengan urusan harian serta sering diburu masa walaupun hari perkahwinan sudah semakin dekat.

“Ada juga yang tidak mempercayai mengenai adat berandam ini dan menganggapnya sebagai karut semata tanpa mengetahui kepentingan kepada bakal pengantin itu sendiri. Tetapi bagi saya, pengantin mesti berandam kerana adat ini adalah proses menaikkan seri pengantin dan perbezaan wajah akan ketara jika bakal pengantin tidak diandam berbanding dengan yang diandam,” katanya ketika di temui di butik andaman milik sendiri yang dikenali Yan Seri Andam.

Beliau yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang mengandam berkata, berandam sebenarnya membentuk disiplin, di samping membantu pengantin memadamkan rasa gelisah dalam diri dan supaya tampak manis serta sentiasa tertib atau tidak ‘lepas laku’ ketika bersanding.

Katanya, pada masa kini ramai yang menganggap, kerja mengandam sekadar membuat solekan muka dan dandanan rambut saja. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa mak andam ada tanggungjawab tersendiri dan seharusnya melengkapkan diri dengan keperluan yang lengkap apabila memulakan urusan mengandam. Tugas mengandam pula merangkumi dari hujung rambut hingga ke kaki.

“Apabila memperkatakan berandam pengantin, ramai di kalangan kita yang hanya mengaitkannya memantis dan mencukur kening, tetapi sebenarnya ada beberapa perkara penting yang perlu dilakukan Mak Andam.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan dalam adat potong andam sememangnya perkara sedemikian dilakukan kepada pengantin dan antara tujuan utamanya, diumpamakan sebagai mencari ketenangan di dalam diri mereka.

“Aspek psikologi dalam diri bakal si pengantin harus diambil kira memandangkan dia akan melangkah ke alam baru yang lebih bermakna,” katanya.

Kak Yan berkata, oleh kerana pasangan yang hendak berkahwin dihimpit ujian oleh godaan syaitan maka ayat dan surah al-Quran akan digunakan serta dibaca kepada pengantin sebagai ‘pendinding’ supaya dapat menempuh hari perkahwinan tanpa ada sebarang kecacatan.

Bacaan dan surah yang biasa digunakan seperti ayat Kursi, al-Fatihah, surah Yusuf serta selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

“Membaca doa seumpama itu penting untuk memantapkan rohani pengantin dan sebagai usaha memohon kepada Allah agar sempurna semuanya sehinggalah ke akhir majlis perkahwinan itu.

“Pokoknya, doa yang dibaca adalah untuk meminta kesejahteraan pengantin dan memastikan dirinya cantik seperti bidadari atau hebat setiap kali tetamu memandangnya serta dijauhkan daripada sebarang khianat dan malapetaka,” katanya.

Mengenai acara yang dilakukan dalam adat berandam, Kak Yan berkata, antaranya termasuklah mandi bunga. Biasanya pelbagai jenis bunga digunakan dan ia diramas terlebih dulu untuk mengambil pati sarinya kemudian dicampurkan ke dalam air sebelum pengantin berendam di dalamnya.

Antara tujuan mandi bunga ialah meredakan emosi dan menyegarkan badan. Malah, secara saintifik dan mengikut hukum fizik tenaga air dan haruman bunga sebenarnya memang berupaya unt uk memberikan keharmonian dan kesejahteraan pada minda serta fizikal.

Ketika ditanya tujuan mencukur bulu roma pada wajah katanya, ia membolehkan solekan tampak lebih daripada biasa di samping, jika pengantin berpeluh ia tidak mengalir di celah bulu roma sehingga menjejaskan solekan. Memantis kening pula adalah bertujuan untuk membezakan antara lelaki dan perempuan.

Bagaimanapun, apa yang pasti hari ini peranan mak andam walaupun dilihat masih penting dan diperlukan, tugas dipikul tidaklah seberat dulu yang terpaksa menjaga bakal pengantin dari awal hingga selesai majlis perkahwinan.

Tugas utama yang dilakukan juruandam hari ini sebaliknya, lebih menitikberatkan dandanan dan menyolek paras wajah pengantin supaya tampak jelita serta berbeza daripada solekan hari-hari biasa serta memastikan persalinan pakaian mempelai lengkap dan secocok digayakan.

Malah, bagi masyarakat bandar dan individu yang dilingkari gaya hidup moden, kebanyakan tugas Mak Andam lebih banyak diganti atau diambilalih oleh jurusolek. Selain itu dulu mak andam lazimnya di kalangan orang tua yang berkemahiran dan berpengetahuan luas, khususnya berkaitan rahsia serta hal rumah tangga dan membuatkan dirinya dihormati masyarakat.

Kini, usia bukan lagi persoalan utama untuk bergelar mak andam dan ada kala individu yang menjadi juru andam masih lagi anak dara atau belum ada pengalaman melalui gerbang perkahwinan. Apa yang lebih penting, selagi mempunyai kemahiran bersolek dan berdandan, ia sudah cukup syarat untuk melaksanakan tugas sebagai juru andam.

No comments:

Post a Comment