Friday, February 25, 2011

Malu dan Iman



Malu dan Iman - Gandingan yang menghiaskan manusia

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Sifat malu merupakan salah satu cabang daripada cabang-cabang Iman" (Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam sebuah hadith yang lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Asal iman ialah telanjang (tiada pakaian). Pakaiannya ialah takwa dan perhiasannya ialah malu."

Berdasar hal itu, malu merupakan sifat yang paling mulia yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-Nya. Seseorang yang memiliki sifat malu mampu menahan dirinya daripada melakukan sesuatu perbuatan keji. Oleh sebab itu sifat malu menjadi pelengkap kesempurnaan seseorang insan. Menurut Ibnu Maskawaih, sifat malu merupakan sikap yang boleh mempertahankan diri daripada melakukan dosa. Orang yang malu, takut melakukan perbuatan yang tidak baik. Hakikatnya sifat ini salah satu sifat peribadi orang yang beriman.

Sifat malu dan masyarakat Melayu sebenarnya begitu sinonim, saling bertaut antara satu sama lain. Bahkan banyak pepatah Melayu yang mengungkapkan perkataan malu. Kita biasa mendengar pepatah seperti "malu-malu kucing", "malu bertanya sesat jalan", "malu berdayung berdayung perahu hanyut", "malu makan perut lapar", dan lain-lain lagi. Pepatah Melayu yang sedemikian itu sebenarnya lahir daripada tata pergaulan dan budaya masyarakat Melayu itu sendiri.

Sebenarnya timbul rasa malu pada seseorang bermula daripada mata. Barangkali itulah hikmahnya mengapa Allah S.W.T. meletakkan kedudukan deria penglihatan ini di bahagian atas tubuh manusia. Tujuannya tentu untuk memudahkan hamba-hamba-Nya melihat. Apabila mata melihat perkara dosa dan maksiat, disalurkan kepada hati. Dengan itu mudah dijauhi.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w meminta umatnya agar berhati-hati apabila melihat sesuatu, agar tidak menggunakan nikmat mata yang diberikan oleh Allah itu ke arah kemaksiatan kepada-Nya. Rasulullah s.a.w telah bersabda seperti yang diriwayatkan daripada Abi Umaimah r.a yang bermaksud: "Tidaklah orang Islam itu apabila dia memandang pada kehormatan wanita kemudian dia menundukkan pandangannya melainkan diberikan oleh Allah S.W.T. suatu ibadah yang terdapat padanya kemanisan (iman) dalam hatinya."

Seandainya hati seseorang sudah dihiasi dengan iman yang sempurna maka lebih dalamlah sifat malunya. Tetapi seandainya nafsu lebih banyak menguasai hati nescaya hilanglah rasa malunya. Oleh sebab itu, pengukuhan hati dengan nur iman inilah yang akan menentukan sejauh mana kemampuannya untuk mengawal mata agar bersifat malu, tunduk, dan merendahkan pandangannya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman, hendaklah mereka sentiasa merendahkan pandangan dan memelihara kehormatan mereka" (Surah al-Nur: 30).

Dalam sebuah hadith Qudsi, daripada Abdullah bin Mas'ud r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya pandangan mata (yang diharamkan) merupakan panahan beracun daripada panahan Iblis. Sesiapa yang menundukkan pandangannya kerana takut kepada-Ku, akan Aku tukarkan (pandangan) dengan iman yang dapat dirasai kemanisannya dalam hati" (Hadith Riwayat Tabrani dan al-Hakim).

Imam al-Jurjani berpendapat bahawa sifat malu merupakan cermin peribadi Mukmin yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. kepada setiap hamba-Nya. Hal ini menyebabkan orang yang beriman enggan melakukan dosa, mereka takut, dan malu kepada Allah S.W.T. Jadi, malu yang dikurniakan kepada hamba-Nya adalah untuk menjadikan mereka orang yang terbaik. Dalam hal ini, Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Sifat malu tidak akan membawa seseorang Mukmin itu melainkan untuk kebaikan sahaja."

Walau bagaimanapun malu pada seseorang boleh menjuruskan kepada kebaikan dan juga keburukan. Apabila malu tercetus seperti yang dituntut dalam Islam maka malunya akan membawa kepada kebaikan. Malu ini berpunca daripada keimanan kepada Allah S.W.T. Sebaliknya apabila malu datang daripada dorongan syaitan dan nafsu, maka seseorang itu akan malu untuk melakukan kebaikan. Sebenarnya, iman dan malu merupakan dua perkara yang saling berkait antara satu sama lain. Jika salah satu daripada keduanya hilang maka rosaklah seluruh pancainderanya. Ketika itu deria matanya sudah tidak malu untuk melihat perkara yang diharamkan, telinganya sudah hilang malu untuk mendengar umpat dan fitnah orang, kakinya pula sudah tidak malu untuk melangkah ke lembah kemaksiatan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Iman dan malu bergandingan, apabila terangkat satu daripadanya, terangkat kedua-duanya." Jadi, setiap orang wajib menjaga agar tidak tercabut sifat malu demi menjaga iman terhadap Allah S.W.T. Dalam masa yang sama, hati perlu dijaga kerana pada hatilah terletak iman dan malu itu. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Ingatlah, sesungguhnya pada tubuh badan manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah keseluruhan anggota jasadnya tetapi jika rosak daging itu maka rosak jugalah keseluruhan anggota jasadnya. Yang demikian itu ialah hati" (Riwayat Bukhari).

Rasulullah s.a.w sendiri secara realitinya sangat pemalu. Hal ini dijelaskan sendiri oleh para isteri Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w. itu seorang yang sangat pemalu orangnya" (Riwayat Bukhari).

Oleh sebab itu, sebagai umat Rasulullah s.a.w. kita perlulah menjadi pemalu seperti yang ditunjukkan oleh baginda. Panduannya dijelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Lais, daripada Abdullah bin Mas'ud katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu. Lalu dijawab para sahabat, wahai Rasulullah s.a.w. kami sudah malu kepada Allah! Kemudian Nabi menjelaskan: "Bukan itu yang aku maksudkan, tetapi orang yang benar-benar malu kepada Allah, akan menjaga kepala dan semua pancainderanya daripada dosa-dosa, begitu juga dengan perut dan apa yang masuk ke dalamnya. Untuk itu hendaklah selalu ingat akan mati dan bencana di dalam kubur. Sesiapa yang benar-benar ingin akan akhirat, dia akan sanggup meninggalkan kesenangan dunia. Sesiapa yang berbuat demikian maka sebenarnya dia telah malu kepada Allah dengan sungguh-sungguh malu."

Malu yang bersifat imani ini hanya boleh didapati melalui proses makrifatullah iaitu mengenal Allah S.W.T. Yakni mengenal sifat-sifat-Nya serta ilmu-Nya yang melampaui segala maklumat yang tersembunyi di hati manusia. Dalam hal ini Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Mereka cuba menyembunyikan (keburukan) daripada manusia, tetapi mereka tidak mampu (berselindung) daripada (pengetahuan) Allah, padahal Allah sentiasa bersama mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak redhai. Dan sesungguhnya (ilmu) Allah meliputi segalanya terhadap apa yang mereka lakukan" (Surah al-Nisa': 108).

Oleh hal yang demikian, mereka yang benar-benar mengenal Allah pasti akan berasa malu. Malu yang akan menjadikan manusia malu kepada Allah, taat beribadah, warak, dan berperibadi yang baik sama ada di hadapan khalayak ramai atau waktu bersendirian.

Sebenarnya, sifat malu ini wajar dilatih dan dipupuk bermula dari rumah lagi. Ibu bapalah yang sepatutnya menanamkan akhlak malu kepada anak-anak. Manakala di sekolah pula guru-guru yang bertindak sebagai fasilitator, wajar memperkemaskannya melalui didikan sehinggalah berjaya diterapkan dalam masyarakat.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abi Mas'ud al-Badri r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda mafhumnya: "Sesungguhnya sesuatu yang dipegang oleh manusia daripada ucapan kenabian yang pertama ialah: "Jika engkau tidak berasa malu maka perbuatlah perkara yang engkau inginkan" (Riwayat Bukhari).

Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa malu merupakan sifat dan budaya para Anbia' sejak Nabi Adam lagi. Tegasnya, sifat malu amat besar peranannya dalam membentuk peribadi Muslim dan ummah keseluruhannya. Sifat malu itulah yang mampu mencegah dan menahan masyarakat daripada melakukan perbuatan-perbuatan buruk.

Orang yang tidak memiliki sifat malu ini, mereka akan tenggelam dalam setiap perbuatan keji dan mungkar. Mereka tidak akan malu lagi untuk melakukan kemaksiatan, malah dicanangkan ke merata ceruk dan berbangga dengannya. Jelasnya, apabila masyarakat Islam hilang rasa malu, mereka akan melakukan apa sahaja yang diinginkan.

Realiti yang jelas pada hari ini, kejahatan dan kemungkaran yang semakin bertambah parah itu berpunca daripada hilangnya sifat malu pada umat akhir zaman ini. Yang amat menyedihkan dalam hal ini, kebanyakan kes melibatkan orang-orang Islam sendiri. Kes-kes bersekedudukan dan sumbang mahram misalnya, bukan lagi menjadi isu sensitif. Malah cerita sedemikian rupa sudah dikomersialkan di dada-dada akhbar, buku-buku dan juga majalah hiburan.

Kegawatan akhlak yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, samalah seperti yang berlaku di negara barat yang sudah hancur nilai moral dan akhlaknya. Keruntuhan peribadi manusia di akhir zaman ini telah menjadi bukti kebenaran yang dirakamkan melalui lidah Rasulullah s.a.w, 1400 tahun yang lalu. Sabda Baginda yang bermaksud: "Kiamat tidak akan terjadi sehinggalah rasa malu telah lenyap daripada anak-anak dan kaum perempuan."

Hal ini diperkuatkan lagi dengan yang dikatakan oleh seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Salman al-Farisi yang bermaksud: "Sesungguhnya apabila Allah S.W.T. menginginkan kehancuran dan kebinasaan seseorang hamba-Nya, maka Dia akan mencabut daripada dirinya sifat malu. Apabila sudah dicabut sifat tersebut, maka dia tidak akan bertemu dengan Allah S.W.T. lagi, kecuali dalam keadaan dia amat dimurkai. Apabila dia sudah berada dalam keadaan sedemikian, maka akan dicabut daripada dirinya sifat amanah, lantas dia tidak akan menemui Allah S.W.T. lagi, kecuali dalam keadaan dia dicap sebagai pengkhianat atau orang yang dikhianati. Apabila dia sudah dilabel sedemikian rupa, maka akan dicabut daripada dirinya pula sifat rahmah (belas kasihan) lantas dia tidak akan bertemu dengan Allah S.W.T. kecuali dalam keadaan dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan sebegitu, maka akan dicabut sebahagian iman daripada tengkuknya, dan apabila sudah dicabut imannya, maka dia tidak akan bertemu dengan Allah S.W.T. kecuali dalam keadaan menjadi syaitan yang dilaknat atau suka melaknat".

Tetapi realiti yang berlaku pada hari ini, sifat malu diletakkan pada keadaan atau tempat yang tidak sepatutnya. Malu tidak bertempat, khususnya apabila melibatkan masalah-masalah agama. Malu seperti ini, dinamakan malu orang jahil. Walhal tidak ada malu dalam melaksanakan amalan agama. Selain itu, terdapat umat Islam yang malu untuk mendalami ilmu agama, apatah lagi perkara yang melibatkan permasalahan yang agak sensitif dan bersifat peribadi. Bukan sahaja perkara yang melibatkan kaum wanita, lelaki juga tidak mahu bertanya kerana malu.

Terdapat juga orang yang malu untuk melakukan kebaikan kerana takut dikata ketinggalan zaman, malu untuk menyatakan pendapat kerana rasa rendah diri yang keterlaluan. Bahkan ada yang malu untuk meninggalkan perkara yang haram atau makruh kerana takut dikatakan, tidak pandai bersosial. Tidak kurang juga generasi kini yang rasa malu untuk menampakkan kebenaran, dan malu untuk mengambil keputusan sesuatu yang benar. Bukan itu sahaja, mereka juga malu untuk menonjolkan kebenaran orang lain atau menyatakan kebenaran orang lain. Malu yang sebegini sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: ".... Dan Allah S.W.T. tidak malu pada sesuatu yang hak (kebenaran)" (Surah al-Ahzab: 53).

Sifat malu yang dimiliki oleh umat Islam merupakan sebahagian daripada cabang iman. Maknanya, kalau seseorang itu mempunyai malu, imannya berada di tahap yang selamat. Dalam sebuah hadith yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasai dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau memiliki dua sifat yang dicintai oleh Allah. Aku bertanya kepada baginda, "Sifat apakah itu wahai Rasulullah?" Baginda bersabda, "Sifat lemah lembut dan sifat malu." Aku bertanya lagi, sifat yang sudah lama (dalam diriku) atau yang baru? Baginda menjawab dengan sabdanya, "Bahkan sudah lama." Aku berkata (pada diriku), Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. yang telah menganugerahkan kepadaku dua sifat yang dicintai oleh Allah".

Berdasarkan itu, setiap umat Islam harus memiliki sifat malu seperti yang disarankan oleh Islam. Malu bukan sahaja disenangi manusia tetapi Allah dan rasul-Nya.

No comments:

Post a Comment