Friday, March 11, 2011

Adat Resam Perkahwinan (Malam berinai)

Masyarakat melayu sangat berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai dapat memberikan impak yang besar dalam kehidupan. Bagi masyarakat melayu,adat resam sangat dititikberatkan. Bak kata pepatah,"biar mati anak jangan mati adat". Adat perkahwinan melayu merupakan adat resam yang paling dipegang teguh oleh kebanyakkan orang melayu.

Malam Berinai merupakan satu majlis keramaian yang dilaksanakan oleh keluarga yang berpegang kuat kepada adat istiadat perkahwinan dan budaya Melayu / Mamak atau jawa. Setiap majlis berlangsung sedikit berbeza mengikut adat kebudayaan negeri dan negara masing-masing. Malam Berinai secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu Berinai Kecil dan Berinai Besar.

Berinai Kecil
Majlis Berinai Kecil kebiasaannya hanya diadakan untuk pengantin perempuan dan saudara mara rapat mereka sahaja. Majlis ini akan diadakan sehari sebelum si gadis bernikah dengan pasangannya. Tujuan Majlis Berinai Kecil ini lebih kepada ingin memberikan restu dan melahirkan rasa gembira kerana si gadis bakal menjadi isteri dan perkahwinannya amatlah dinantikan oleh ahli keluarga yang merestui.

Pada majlis Berinai Kecil inilah keluarga terdekat khususnya saudara mara si gadis akan menghadiahkan barang kemas berupa cincin, gelang mahupun rantai bagi merestui pernikahan si gadis dengan jejaka pilihan hati. Sewaktu bersanding di pelamin, saudara mara terdekat akan mula menginaikan si gadis di atas pelamin disertakan ucapan-ucapan tahniah dan kegembiraan. Ada sesetengah tempat, si gadis akan menerima suapan berupa manisan atau gula dari saudara mara menandakan ahli keluarga mendoakan yang baik-baik sahaja untuk masa depan pasangan mempelai. Cenderahati berupa manisan, hadiah kecil ataupun bunga telur akan diberikan kepada tetamu yang menginaikan si gadis sebagai tanda ucapan terima kasih di atas restu dan hadiah-hadiah yang diberikan.

Berinai Besar
Manakala Majlis Berinai Besar pula akan melibatkan persandingan kedua pasangan pengantin yang telahpun selamat dinikahkan. Pasangan pengantin lebih suka mengenakan pakaian jenis tradisional sama ada songket bunga tabur ataupun songket bunga penuh. Majlis ini juga hanya diraikan oleh rakan rapat serta saudara mara kedua belah keluarga pengantin lelaki dan perempuan. Ia hanya diadakan di rumah pengantin perempuan. Tujuan Majlis Berinai Besar ini diadakan selain untuk meraikan kehadiran keluarga pengantin lelaki ia juga lebih kepada ingin berkenalan sesama ahli keluarga. Memandangkan ia tidak dapat dilakukan dengan sempurna pada hari persandingan kerana terdapat tetamu yang ramai sehingga menyukarkan untuk memberikan layanan yang lebih istimewa.

Sememangnya Majlis Berinai Kecil mahupun Majlis Berinai Besar mempunyai simbolik dan keistimewaan tersendiri. Masyarakat dahulu amat menitikberatkan hubungan kekeluargaan dan silaturrahim sesama jiran sekampung. Berbeza dengan zaman sekarang, tidak ramai yang masih mengekalkan adat dan budaya kerana kehidupan di bandar tidak lagi mengamalkan sikap saling tolong menolong dan ramah mesra sesama jiran tetangga. Kos perbelanjaan perkahwinan waktu itu tidaklah terlalu besar kerana jiran tetangga saling memberikan bantuan samada dari segi kewangan mahupun barangan dapur yang dapat digunakan bagi mengadakan sesebuah majlis. Berbanding sekarang, kos perbelanjaan berpuluh ribu hanya dapat digunakan untuk satu majlis kerana kos tempahan katering dan dewan memakan belanja yang amat besar berbanding konsep gotong royong.

Semoga artikel ini membantu. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment