Friday, February 25, 2011
Batas Sempadan Meluah Rahsia Rumah Tangga
Kehidupan serba moden dan dalam era siber ini menjadikan sikap manusia begitu terbuka termasuklah bagi masyarakat timur yang dahulunya kaya dengan sifat sopan dan perasaan malu yang menebal. Kini, hal dalam kelambu pun boleh didengar di tempat-tempat terbuka dan menjadi bahan ketawa dalam perbualan sehari-hari.
Sebenarnya, penting bagi setiap pasangan menyimpan dan memelihara rahsia rumah tangga. Namun, ada juga kes dan keadaan yang membolehkan rahsia rumah tangga diluahkan kepada pihak ketiga. Ambil contoh satu kes yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w.
Seorang wanita mengadu kepada Rasulullah bahawa dia telah dipukul oleh suaminya. Rasulullah pada awalnya memutuskan bahawa si suami boleh dikenakan qisas (pukul dibalas pukul), tapi pada ketika itu juga turun wahyu yang membolehkan seorang suami memukul isterinya dalam keadaan tertentu dengan tujuan mendidik (bukan pukul menyakitkan atau pukul geram).
Secara tidak langsung, wanita tadi telah membocorkan rahsia rumah tangganya dengan menceritakan keburukan suaminya kepada pihak ketiga (Rasulullah). Dalam kes seumpama ini, tidak menjadi kesalahan bagi isteri (atau suami) untuk membuka rahsia rumah tangganya kerana ia dibuat demi kepentingan rumah tangga itu sendiri.
Bila timbul masalah dalam hubungan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama, dan pihak suami atau isteri terasa sudah tidak mampu menghadapinya, maka satu jalan penyelesaian perlu diambil dengan melibatkan ‘orang luar’. Mahu tidak mahu, sempadan rumah tangga terpaksalah direntas! Bagaimanapun, beberapa perkara perlulah diambil kira supaya natijah nya benar-benar mendatangkan kebaikan kepada rumah tangga, bukan sebaliknya.
Perlunya sikap telus dan lapang dada
Hubungan suami isteri mestilah dilandaskan atas sifat saling berlapang dada. Jika timbul satu-satu hal yang tidak menyenangkan salah satu pihak, ruang perbincangan perlu dicari. Seboleh mungkin, apa pun masalah yang dihadapi, ia perlu diselesaikan di bawah bumbung rumah tangga sendiri. Sifat telus dan berterus-terang perlu ada.
Kadang-kadang ada satu-satu sikap atau perilaku pasangan kita yang tidak kita senangi. Rasa tidak senang ini boleh diluahkan asalkan kena cara dan waktunya. Jika tidak berhasil dan pasangan kita masih mengekalkan sikap itu, apa yang mampu kita buat ialah sabar dan redha. Terimalah pasangan kita seadanya.
Allah berfirman, maksudnya: “... Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu sedangkan ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”(al-Baqarah: 216).
Oleh itu, sebelum sampai ke tahap ‘gatal mulut’ untuk meluahkan perasaan dan menceritakan buruk laku pasangan kita kepada orang ketiga, cubalah bersabar dan pujuk hati dengan mengingati kelebihan pada dirinya berbanding keburukannya.
Mengadu kepada Allah
Andainya tidak mampu bersabar dengan sikap dan tingkah laku pasangan yang telah Allah takdirkan menjadi suami atau isteri kita itu, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan perilaku yang bertentangan dengan syariat, bolehlah kita berkira-kira untuk mengadu kepada ‘orang luar’.
Namun sebelum itu, tanyalah pada diri sama ada tindakan kita itu nanti memberi natijah yang baik pada rumah tangga kita. Dan jangan lupa pada sebaik-baik tempat mengadu iaitu Allah. Mohonlah kekuatan daripada-Nya dan mohonkan juga petunjuk buat suami atau isteri kita. Sebaik-baiknya jika kita hendak mengadu hal kepada pihak ketiga kerana tidak mampu lagi menanggung beban masalah yang semakin berat itu, buatlah dulu sembahyang istikharah. Minta petunjuk dan ‘restu’ daripada Allah terlebih dahulu.
Merujuk kepada orang yang sesuai
Andainya sudah bulat tekad untuk membawa soal dalaman rumah tangga kita kepada orang lain, kita harus merujuk kepada orang yang tepat. Kerana bukan sembarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah. Jika pada diri orang itu tidak ada sifat amanah dan adil, kita mungkin mengundang susah.
Hal-hal sulit melibatkan rahsia rumah tangga yang kita adukan kepada orang yang tidak amanah, boleh jadi akan dikongsi dengan orang lain hingga akhirnya tersebar merata. Ia akan dibisikkan dari satu telinga ke satu telinga. Seorang yang tidak memiliki sifat adil pula akan memberi maklum balas yang dipengaruhi emosi. Ada kemungkinan orang seperti ini akan menjadi penghasut dan pengusut masalah.
Sempadan dalam menceritakan rahsia rumah tangga
Orang yang tepat untuk diadukan masalah sudah diperolehi. Orangnya boleh dipercayai, tenang dan berwatak pendamai. Mungkin dia merupakan teman rapat yang sering menjadi tempat meluah perasaan dan berkongsi masalah. Boleh jadi juga dia seorang kaunselor yang berpengalaman. Dia boleh membantu sama ada memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi orang tengah untuk membetulkan frekuensi hubungan dua hala antara suami isteri yang tergendala.
Siapa pun dia, seperkara yang harus diingat, dia tetap ‘orang luar’ dalam konteks sesebuah rumah tangga. Oleh itu, rahsia rumah tangga yang mahu diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada hal-hal yang berkaitan (relevan) dengan masalah yang dihadapi. Tidak lebih dan tidak kurang.
Jangan sampai hal-hal yang tidak berkaitan pun diluah habis. Jangan sampai pengaruh emosi membuatkan seseorang itu bersikap tidak adil dan tidak jujur terhadap pasangannya. Biarlah hal-hal yang diceritakan itu sekadar yang perlu untuk membolehkan pihak ketiga tadi mengetahui masalah yang dihadapi dan dapat memberi pandangan yang sesuai.
Merujuk kepada hakim
Sesetengah masalah rumah tangga memerlukan pihak suami atau isteri merujuk kepada pihak yang boleh membuat keputusan ke atas masa depan rumah tangga terbabit. Dalam kes ini, jalan penyelesaian melalui perbincangan dan melalui kaunselor atau orang tengah tidak membuka sebarang harapan untuk damai.
Waktu itu rahsia rumah tangga terpaksa disingkap di hadapan hakim atau mahkamah. Sebelum ke peringkat itu, boleh juga ia diselesaikan melalui inisiatif wakil kedua-dua pihak suami dan isteri yang dipanggil ‘hakam’. Pihak lelaki diwakili seorang hakam, dan pihak perempuan begitu juga. Adakalanya mahkamah sendiri yang akan melantik hakam di kedua-dua pihak sebagai jurudamai untuk membantu menyelesaikan kes yang dihadapi.
Firman Allah, bermaksud: “Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan.” (An-Nisa’: 35). Kedua-dua hakam ini akan mengadakan soal selidik ke atas suami atau isteri dalam sesi berasingan untuk mengetahui punca dan kedudukan masalah. Kemudian kedua-dua hakam ini akan bertemu untuk mencari titik temu atau jalan damai.
Dalam hal ini, suami mahupun isteri, memberi kepercayaan kepada hakam untuk mencari jalan penyelesaian pada masalah antara mereka. Oleh itu, sedikit sebanyak rahsia rumah tangga mereka akan diluahkan kepada jurudamai ini. Di sini pentingnya hakam yang dipilih itu terdiri daripada orang yang boleh dipercayai, bijaksana dan adil. Boleh menyimpan rahsia, bijak bertindak dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Andainya didapati tidak ada lagi titik temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua hakam harus sepakat untuk membuat keputusan memisahkan mereka dengan cara baik. Dan ini perlu dirujuk kepada mahkamah. Menceritakan hal-hal dalaman rumah tangga kepada hakam ataupun hakim, kadang-kadang akan mendedahkan juga aib diri sendiri. Tapi disebabkan jalan lain tidak ditemui dan beban yang ditanggung semakin menekan, risikonya terpaksa ditanggung. Termasuklah kemungkinan lebih banyak rahsia rumah tangga harus dibuka berbanding jika merujuk masalah kepada kaunselor atau orang tengah.
Walau apa pun, jalan terakhir ini juga perlu didahului dengan sembahyang istikharah dan disertakan niat yang tulus. Kalau hanya dengan cara ini dirasakan masalah akan selesai, moga ia dapat ditempuh dengan tabah dan diperolehi kekuatan daripada Allah.
Apapun, yang jelasnya rahsia rumah tangga tetap merupakan perkara yang harus dipelihara dengan kemas. Anak kunci ‘peti besi’ yang menyimpan rahsia rumah tangga hanya boleh dipinjamkan kepada orang lain jika keadaan memaksa demi kepentingan bersama. Itupun perlu dilakukan dengan penuh waspada supaya aib dan maruah keluarga terpelihara. Ini dikuatkan dengan hadis yang bermaksud: “Pada kesabaran atas yang engkau tidak sukai itu, banyak kebajikan.” (Riwayat Termizi daripada Ibnu Abbas).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment